PENGURUSAN BILIK DARJAH

  PENGENALAN

        Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyatakan bahawa misi utama mereka adalah untuk membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf dunia agar selaras dengan perkembangan era digital dan globalisasi pada masa kini. Manakala, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 pula telah meletakkan kualiti pencapaian akademik pelajar sebagai agenda utama reformasi pendidikan di Malaysia. Namun begitu, bagi memastikan sasaran dan aspirasi kualiti pendidikan yang bertunjangkan kepada PPPM 2013-2025 dapat dicapai, maka penglibatan, komitmen dan kerjasama pelbagai pihak terutamanya warga pendidik iaitu guru-guru perlu dipertingkatkan lagi. Hal ini menunjukkan bahawa, guru memainkan peranan penting serta dianggap sebagai agen pelaksana dalam merealisasikan hasrat dan misi KPM untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia. Peningkatan kualiti pendidikan hari ini adalah bertujuan untuk memastikan kadar keberhasilan dan kemenjadian murid berhasil dengan sekurang-kurangnya berjaya menguasai beberapa tahap kemahiran, pengetahuan, keterampilan diri, sahsiah dan akhlak.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pengurusan merupakan perihal dalam mengurus sesuatu dan perihal mengurus syarikat, institusi, badan perniagaan dan sebagainya. Pengurusan dikenali juga sebagai  tindakan dan kesan mengurus dan mentadbir. Dengan cara yang lebih spesifik, pengurusan adalah ketekunan , difahami sebagai prosedur yang diperlukan untuk mencapai sesuatu atau menyelesaikan sesuatu, biasanya bersifat pentadbiran atau yang melibatkan dokumentasi. Di samping itu, pengurusan biasanya melibatkan aktiviti atau proses merancang, mengorganisasi, mengurus dan mengawal sumber secara cekap bagi mencapai matlamat dan objektif sesebuah organisasi serta mengadakan dan mengekalkan hubungan dengan pihak berkepentingan. Menurut Haji Samsudin Bin Md Noor, pengurusan bermaksud satu proses mendapatkan penyertaan, kerjasama, dan campurtangan ahli untuk mencapai objektif organisasi atau kumpulan

Bilik darjah merupakan sebuah tempat berlakunya proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang menjadi tempat dan elemen terpenting dalam sesebuah institusi pendidikan rendah dan menengah. Pengajaran ialah perancangan dan pelaksanaan aktiviti yang dirangka secara kreatif dan menarik untuk meningkatkan ilmu pengetahuan, kebolehan dan kesungguhan pelajar dalam proses ilmiah. Pembelajaran pula ialah aktiviti atau proses di mana pelajar tersebut memperoleh ilmu pengetahuan dan kemahiran baru serta mengaplikasikannya. Secara umumnya, bilik darjah boleh diinteprestasikan sebagai mana-mana tempat berlakunya proses memberi dan menerima maklumat dan ilmu pengetahuan. Di samping itu, bilik darjah juga sering kali dikaitkan dengan medan perjuangan seseorang guru dalam melaksanakan peranan, tanggungjawab dan amanah sebagai seorang pendidik. Menyedari hakikat bahawa, kebanyakkan masa guru-guru sekolah dihabiskan didalam bilik darjah kerana tuntutan mendidik serta menyampaikan ilmu berkaitan matapelajaran yang diajar serta ilmu-ilmu kehidupan, nasihat dan motivasi sebagai seorang pelajar. Namun demikian, bilik darjah kini  merupakan satu unit sosial dalam sesebuah sekolah yang saban hari menjadi semakin kompleks kerana melibatkan pihak pentadabiran dan pengurusan sekolah, pegetua dan ibu bapa. Penglibatan mereka adalah bertujuan untuk memberikan sokongan, peruntukan sumber dan dana serta menetapkan matlamat dan mencapai objektif. Walaubagaimanapun, konsep bilik darjah seringkali mengalami perubahan dan perkembangan dari semasa ke semasa disebabkan oleh dasar dan sistem pendidikan negara.

Menurut Noraini Idris, pengurusan bilik darjah melibatkan pembinaan suasana pembelajaran yang terbaik dalam bilik darjah bagi meningkatkan motivasi pelajar dan memperkembangkan sikap tanggungjawab serta kebolehan untuk membuat perancangan sendiri. Pelaksanaannya adalah bertujuan untuk memupuk serta membina tingkah laku pelajar selain memastikan PdP yang dirancang dan dilaksanakan oleh guru dapat mencapai objektif. Secara ringkasnya, pengurusan bilik darjah boleh diibaratkan sebagai satu usaha yang dilakukan oleh guru dan pelajar secara bekerjasama dalam memastikan proses PdP berjalan lancar. Pengurusan bilik darjah yang cekap dan berkesan dapat membantu meningkatkan kecemerlangan akademik, pembentukan sahsiah dan keterampilan pelajar.



KEPENTINGAN PENGURUSAN BILIK DARJAH

Antara kepentingan pengurusan bilik darjah adalah untuk mewujudkan suasana pembelajaran (PdP) yang positif dan kondusif. Robert M. Gagne (1970) di dalam buku Mok Soon Sang (2008) menyatakan bahawa pembelajaran bermaksud perubahan tingkah laku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan oleh proses pertumbuhan. Selain itu, persekitaran pembelajaran yang positif dan kondusif ialah tempat pelajar dapat melibatkan diri, mengambil bahagian dan menumpukan perhatian dalam pembelajaran. Persekitaran ini mempunyai keupayaan untuk merangsang minat dan semangat pelajar untuk terus belajar. Suasana yang positif ini akan membolehkan para pelajar menerima dan memahami ilmu-ilmu yang disampaikan oleh guru dengan penuh ketekunan dan perhatian. Oleh itu, objektif yang ditetapkan oleh guru dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dan Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) dapat dicapai mengikut standard dan piawaian.

Kepentingan seterusnya adalah untuk membentuk hubungan interpersonal antara guru dengan pelajar dan pelajar dengan pelajar. Pengurusan bilik darjah yang cekap mampu mewujudkan hubungan yang baik dan harmoni sesama mereka sekaligus memberikan pelbagai manfaat dan kelebihan. Hal ini dikatakan demikian kerana, hubungan ini dapat membantu mereka untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Misalnya, guru boleh mengetahui kelebihan dan kelemahan setiap pelajar di dalam kelas yang mana ianya akan membantu guru untuk membuat penilaian sebelum merancang dan melaksana PdP. Di samping itu, hubungan serta interaksi yang terbentuk bukan sahaja di dalam kelas semata-mata malah di luar bilik darjah. Maka, hubungan interpersonal ini dapat membantu mencapai kecemerlangan akademik dan sahsiah para pelajar.

Seterusnya, kepentingan pengurusan bilik darjah adalah untuk meningkatkan penglibatan pelajar semasa berada di dalam kelas. Penglibatan pelajar secara aktif dapat membantu guru melaksanakan PdP mengikut rancangan yang telah ditetapkan. Pengurusan bilik darjah yang cekap ini menjadi batu loncatan kepada guru untuk memastikan para pelajar sentiasa melibatkan diri semasa PdP sedang berjalan. Sebagai contohnya, pelajar diminta untuk mencari isi penting berdasarkan topik pembelajaran seterusnya memberi tahu dengan menerangkan kepada rakan-rakan dan guru pula akan membuat ulasan serta penambahbaikan tentang apa yang murid pelajari. Aktiviti seperti ini akan memberi manfaat dan impak yang positif kepada para pelajar serta dapat membantu meningkatkan kefahaman. Oleh itu, pengurusan bilik darjah dengan memastikan penglibatan pelajar secara menyeluruh semasa PdP berlangsung di dalam bilik darjah dapat membantu guru mencapai matlamat dan objektif yang telah ditetapkan.

CIRI-CIRI BILIK DARJAH YANG BERKESAN

  • Suasana demokratik dalam bilik darjah – Tanggungjawab bersama antara guru dan murid 
  • Guru perlu mengambil tanggungjawab sebagai pendidik dan fasilitator – Guru tahu kebolehan dan minat murid 
  • Menimbulkan persekitaran saling mempercayai dan saling menghormati – Hubungan terbina 
  • Guru mesti percaya setiap murid mempunyai kebolehan untuk mencapai kejayaan – adil tanpa prejudis 
  • Guru menunjukkan contoh dan teladan yang baik – Tingkah laku guru diperhatikan murid
  • Jadikan bilik darjah sebagai tempat yang seronok dan selamat untuk murid – ceria , kemas, bersih 
  • Guru menunjukkan rasa kecintaan dan semangat yang tinggi untuk mengajar dan mendidik murid 
  • Pembelajaran berasaskan individu – Pencapaian individu 
  • Semangat kekitaan – Kerjasama dan tanggungjawab 
  • Komunikasi berkesan




PERANAN GURU DALAM MENGURUS BILIK DARJAH

       Guru memainkan peranan yang penting dalam memastikan keadaan bilik darjah berada dalam keadaan yang baik dan teratur. Keadaan ini perlu dipraktikkan oleh guru fokusnya kepada guru kelas supaya dapat memberikan kesan positif kepada para pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Hal ini dikatakan demikian kerana, perkembangan pelajar di sekolah memberi kesan yang mendalam terhadap diri mereka yang memberi penekanan terhadap pertumbuhan dari aspek rohani, jasmani, emosi dan intelek. Perkara ini dapat melahirkan individu yang berfikiran matang dan membina sahsiah yang baik dalam diri mereka. Berdasarkan kepada sistem pendidikan yang menumpukan pelajar di bilik darjah, sebaik-baiknya guru menggunakan kebiasaan dan minat sebagai asas kaedah pendidikan yang diamalkan. Perkara ini bertujuan untuk para pelajar mempraktikkan daya pemikiran dan kreativiti mereka dengan baik. Selain itu juga, guru perlulah mengamalkan sistem mengajar yang berkonsepkan pembelajaan yang aktif berdasarkan kepada penyampaian atau pendekatan yang aktif juga. Pendekatan aktif yang digunakan dalam pendidikan bererti wujudnya ransangan dan dorongan terhadap sahsiah pelajar-pelajar secara menyeluruh. Dalam aspek ini, sahsiah akan meliputi pemikiran, imaginasi, kecerdasan, emosi atau sifat jasmani mereka. Ini menunjukkan bahawa bilik darjah yang diuruskan oleh guru memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan suasana yang kondusif semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

       1.0 PENGAWAL BILIK DARJAH

       Seseorang guru perlu bertindak sebagai pengawal di dalam bilik darjah. Hal ini dikatakan demikian kerana, keadaan bilik darjah perlu sentiasa diawasi supaya keadaan mahupun suasana kelas sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan selesa. Antara perkara yang boleh dilakukan oleh guru adalah mewujudkan peraturan di dalam bilik darjah. Peraturan merupakan sebuah kenyataan yang bertujuan untuk memberikan peringatan dan autoriti kepada nilai moral murid-murid yang boleh diguna dan diterima di dalam bilik darjah. Guru kelas fokusnya perlu menghasilkan peraturan di dalam bilik darjah supaya dapat mengurangkan masalah dan gangguan serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang berkualiti.  Peraturan bilik darjah yang dilakukan oleh guru perlulah selari dengan peraturan am di sekolah. Peraturan yang dibuat di dalam bilik darjah ini secara langsungnya penting kerana peraturan ini adalah untuk menyenarai dan menegaskan tentang tatatertib murid-murid apabila berada di dalam bilik darjah. Perkara yang penting diterapkan di dalam peraturan bilik darjah adalah para pelajar yang berada di dalam bilik darjah dan sedang mengikuti pelajaran daripada guru perlulah memberikan sepenuh perhatian kepada pelajaran yang disampaikan. Mereka tidak dibenarkan menganggu pelajar-pelajar lain sama ada bercakap-cakap dengan rakan mereka, bergurau senda mahupun bergerak seperti berjalan di dalam bilik darjah tanpa tujuan atau membuat bising semasa guru mengajar. Para pelajar seharusnya menyedari bahawa mereka seharusnya tidak menganggu proses pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung dan jika ingin menanyakan sebarang soalan perlu bertanya selepas guru tamat memberikan penjelasan pelajaran. Oleh yang demikian, guru perlu menggunakan peraturan di dalam bilik darjah dan memastikan para pelajar sentiasa mengingati dan mengawasi diri mereka sendiri. Perkara ini akan mewujudkan keadaan yang memudahkan pelajar mengikuti arus pembelajaran dengan tenang tanpa sebarang gangguan.

            2.0 PEMBIMBING DI DALAM BILIK DARJAH

       Guru bertanggungjawab dalam memastikan persekitaran bilik darjah yang efektif disediakan. Perkara ini adalah penting kerana dapat membantu perkembangan murid semasa menjalani proses pembelajaran. persekitaran fizikal bilik darjah, seperti saiz, ruang serta susun atur perabot perlu dirancang dan disusun dengan baik. Oleh kerana bilangan pelajar yang ramai, susun atur perabot hendaklah bersesuaian dengan kapasiti pelajar Melebihi kapasiti yang ditetapkan boleh membawa kepada suasana bilik darjah yang tegang tidak begitu selesa dan akhirnya membawa kepada masalah disiplin. Purata bilangan pelajar di sekolah awam Malaysia ialah satu bilik darjah adalah 40 orang. Guru bertanggungjawab menyediakan pelbagai aktiviti dan latihan, menyelia dan menilai hasil kerja pelajar bagi memastikan suasana kelas sentiasa berada dalam keadaan yang tenang dan selesa. Selain itu juga, guru perlu memastikan kelas berada dalam keadaan ceria. Guru boleh memanfaatkan kawasan belakang bilik darjah dengan menjadikannya sebagai kawasan seperti sudut bacaan, permainan dalaman dan sebagainya. Penggunaan ruang ini dengan sebaiknya dapat membantu dalam menarik minat para pelajar untuk memupuk perasaan seronok semasa berada di dalam kelas. Namun, pemantauan secara berkala perlu dilakukan oleh guru bagi mengelakkan kelas menjadi bising dan tidak terkawal. Selain itu juga, aspek yang penting di dalam bilik darjah adalah kebersihan. Masalah kebersihan di dalam bilik darjah kian berlaku dimana pelajar hanya membiarkan sampah sarap di sekeliling mereka tanpa diurus dan hanya mengendahkan sahaja. Walaupun sudah ada jadual tugasan yang diberikan oleh guru namun, sikap bertanggungjawab dalam diri pelajar masih belum dipupuk agar memahami pentingnya kebersihan di dalam bilik darjah. Sebagai seorang guru, teguran dan nasihat perlu sentiasa diberikan agar pelajar memahami betapa pentingnya kebersihan di dalam bilik darjah. Teguran yang berkesan akan membuatkan para pelajar bertindak sewajarnya bagi memastikan keadaan bilik darjah kelihatan bersih dan berada dalam keadaan yang selesa. Kejayaan seseorang guru dalam membimbing dan mengurus suasana bilik darjah yang kondusif menunjukkan bahawa guru tersebut telah berjaya menerapkan budaya menghargai alam sekitar, berdisiplin dan mematuhi arahan yang telah diberikan.
 
            3.0 PERSEKITARAN PSIKOSOSIAL

       Psikososial merujuk kepada hubungan antara keperluan emosi individu dengan persekitaran sosialnya. Dalam mewujudkan persekitaran psikososial bilik darjah yang selesa dan kondusif, bilik darjah harus mempunyai ciri-ciri seperti suasana yang selesa dan mesra, tiada ancaman dan perkara yang boleh mendatangkan bahaya. memupuk pembelajaran kolaboratif dan memberi peluang yang sama kepada semua pelajar. Ini kerana pembelajaran mempunyai maksud proses mengubah tingkah laku atau kemampuan seseorang, tidak termasuk perubahan yang disebabkan oleh proses pertumbuhan. Oleh itu, untuk mewujudkan pembangunan menyeluruh persekitaran psikososial memainkan peranan yang sangat penting dalam membangunkan pelajar yang sihat dari segi mental. Seseorang guru perlu memainkan peranan yang besar dalam mewujudkan persekitaran psikososial di dalam bilik darjah. Guru perlu mengetahui gaya kepimpinan yang digunakan dimana gaya kepimpinan ini akan memberi kesan terhadap suasana pembelajaran di dalam bilik darjah. Guru yang menggunakan gaya kepimpinan autokratik dimana guru dapat mengawal pelajar dengan memberikan ganjaran dan memberikan hukuman kepada mereka adalah salah satu gaya kepimpinan yang tidak baik kerana keadaan ini akan menjadikan persekitaran bilik darjah berada dalam keadaan yang tidak selesa. Situasi ini juga akan mengganggu keadaan pembelajaran di dalam kelas sejurus menyebabkan pelajar menjadi tertekan. Namun, kaedah ini boleh dilakukan oleh guru mengikut keadaan yang tertentu seperti pelajar tidak mendengar nasihat dan arahan setelah diberikan berulang kali. Gaya kepimpinan yang sesuai digunakan di dalam bilik darjah adalah gaya kepimpinan demokratik. Guru akan berkongsi tanggungjawabnya dengan para pelajar yang akan mewujudkan perasaan saling percaya diantara guru dan juga pelajar. Guru yang mengamalkan gaya kepimpinan ini adalah guru yang tidak suka memberi desakan kepada pelajar dan sentiasa memberikan sokongan kepada mereka. walaupun guru ini merupakan guru yang baik namun, sikap tegas perlu ada dalam diri setiap guru. Disebabkan guru yang besikap terbuka ini, para pelajar akan menjadi lebih yakin untuk mencuba menyelesaikan masalah kerana tidak tertekan dan sentiasa hormat akan guru mereka. Situasi ini akan mewujudkan suasana bilik darjah yang ceria dan mesra. 

              4.0 HUBUNGAN GURU DENGAN PELAJAR

       Guru yang berkesan adalah guru yang mampu membina hubungan yang baik dengan para pelajarnya dalam pelbagai aspek seperti emosi, tingkah laku dan kepercayaan. Dalam membentuk hubungan yang positif denOKOOgan pelajar, guru perlu memandang pelajar dengan positif dan memberikan layanan yang baik kepada mereka. Dalam mewujudkan hubungan yang baik antara guru dengan pelajar adalah datang daripada diri seseorang guru yang mampu memperlihatkan sikap sabar, jujur, sentiasa memberikan sokongan, meningkatkan wawasan, berketerampilan dan sebagainya.  Dalam memupuk hubungan yang baik ini, guru perlu memberikan pertolongan dan menerapkan nilai-nilai yang baik di dalam bilik darjah. Seperti perspektif agama Islam dimana penerapan nilai-nilai murni dan baik dalam diri pelajar akan membolehkan mereka berupaya untuk berfikir, mendengar dan menghayati ilmu yang diajar dengan baik. Dengan penerapan sikap ini, guru akan sentiasa mengambil berat perkembangan akademik bagi setiap pelajar dengan melakukan perbincangan dengan pelajar untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka. komunikasi secara dua hala ini akan memberi kesan yang mendalam kepada kedua-dua pihak dimana mereka saling bergantung antara satu sama lain dan akan mengeratkan hubungan mereka. Guru yang berkesan juga adalah guru yang mudah didekati oleh semua pelajar. Hal ini dapat terjadi apabila guru banyak meluangkan masa bersama murid. Sebagai contoh, guru boleh menceritakan mengenai pengalaman kehidupannya semasa proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai kefahaman dan pengetahuan menbgenai setiap pelajarnya untuk memahami masalah yang mereka alami. Hal ini kerana setiap pelajar bukanlah datang dari budaya yang sama. Guru juga boleh merapatkan hubungan dengan pelajar melalui interaksi di alam para pelajar seperti makan bersama di kantin, bersukan bersama di padang dan menziarahi pelajar yang sakit di rumah mahupun hospital. Keperibadian guru terhadap pelajar juga boleh ditunjukkan dengan tidak memalukan pelajar secara bersemuka atau dalam kelas. Tindakan ini bermakna guru menghormati pelajarnya pada tahap yang tinggi. Guru juga juga perlu bertolak ansur, mempunyai sikap positif, mempunyai harapan yang tinggi, menyemai semangat kekitaan, empati, mengakui kesilapan, mengambil berat, bertanggungjawab, amanah terhadap pelajar, penyabar, adil dan jujur. Perkara ini semua akan memotivasikan. pelajar untuk belajar lebih bersungguh-sungguh kerana mereka mempunyai hubungan yang kuat dengan guru mereka.

RUMUSAN

    Konklusinya, jelaslah dapat diperhatikan disini bahawa pengurusan bilik darjah merupakan suatu tugas yang sangat penting yang memerlukan pengetahuan luas, kemahiran dan kesabaran yang tinggi, komitmen yang padu bagi menghasilkan natijah yang baik. Oleh kerana pengurusan bilik darjah juga bukan satu perkara yang mudah, guru-guru hendaklah mempersiapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan bagi mengendalikan apa jua asbab yang akan mempengaruhi suasana di dalam bilik darjah. Guru-guru mestilah mempunyai kebolehan dalam beberapa faktor, seperti yang disebutkan tadi, antaranya ialah faktor fizikal, psikososial, kepimpinan dan sebagainya kerana ia akan memberi impak terhadap pengurusan bilik darjah itu sendiri. Selain itu, banyak strategi yang dapat diaplikasikan di dalam pengurusan bilik darjah dan kesemua strategi itu tidak lain dan tidak bukan hanya bertujuan untuk membentuk suatu persekitaran pembelajaran yang efektif, selesa lagi berkesan. Kebanyakan bilik darjah semestinya menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Walaubagaimanapun, tidak semua mempunyai elemen pengurusan yang baik. Tanpa adanya strategi dan usaha untuk membentuk suasana yang baik, murid tidak akan dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap apa yang disampaikan oleh guru kerana terganggu oleh unsur-unsur lain. 

    Begitulah dapat digambarkan betapa pentingnya strategi dalam pengurusan bilik darjah. Dalam aspek pengurusan bilik darjah juga, guru berperanan sebagai pengawal, pembimbing serta menjalinkan hubungan yang baik dan harmoni antara pelajar. Ketiga-tiga perkara ini penting dalam memastikan bilik darjah berada dalam keadaan terkawal sama ada dari segi fizikal bilik darjah mahupun emosi murid-murid. Guru yang sebenar akan lebih menitikberatkan hal ehwal pelajar dalam pelbagai aspek dan berusaha menjaganya agar muridnya mampu mengekalkan konsentrasi cemerlang dalam pelajaran. Namun begitu, di dalam pengurusan bilik darjah sudah pastinya ada halangan dan cabaran yang tersendiri dan cabaran-cabaran tersebut perlu ditangani dengan bijak agar ia tidak memberi kesan buruk yang parah. Guru yang berjiwa sebenar bukan sahaja tahu akan strategi dalam menguruskan bilik darjah bahkan mengetahui titik-titik penyelesaian bagi setiap permasalahan.

RUJUKAN

  • Awang, M., Zakaria, M. E., & Ismail, R. (2018). Hubungan Persekitaran Fizikal Bilik Darjah dan Kesejahteraan dan Keselesaan Pembelajaran dan Pengajaran. Management Research Journal, 7, 86 - 99. https://doi.org/10.37134/mrj.vol7.8.2018

  • Abas, H. (2012). Tahap, Amalan Dan Masalah Pengurusan bilik darjah guru-guru sekolah menengah Daerah Segamat (Tesis Sarjana, Universiti Teknologi Malaysia). http://eprints.utm.my/id/eprint/31564/








 

Comments